PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan isu keselamatan murid di sekolah termasuk keperluan kehadiran anggota polis untuk melakukan pemantauan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kehadiran anggota polis di kawasan sekolah adalah sebahagian daripada pendekatan ‘omnipresence’ yang bertujuan memberikan keyakinan kepada ibu bapa, pelajar dan guru bahawa sekolah adalah tempat yang selamat.
“Jemaah Menteri telah membincangkan (isu ini) dan melihat kepada aspek ‘omnipresence’ oleh polis.
“Satu kenyataan penuh akan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai perkara ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi itu turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan panduan pelaksanaan ‘spot check’ secara mengejut di sekolah, yang akan dilakukan pada waktu tidak tetap setiap minggu.
Jelasnya, inisiatif itu adalah antara langkah awal kerajaan bagi memperkukuh kawalan dan keselamatan susulan beberapa insiden kebelakangan ini. – UTUSAN