PETALING JAYA: Global Sumud Flotilla (GSF) mendakwa kehadiran tentera laut Itali yang kononnya untuk melindungi peserta misi sebenarnya merupakan satu cubaan mensabotaj misi kemanusiaan tersebut.
GSF berkata, kapal tentera laut Itali cuba melemahkan semangat peserta misi kemanusiaan dengan menawarkan peluang untuk meninggalkan pelayaran dan kembali ke daratan sebelum tiba di zon kritikal.
“Itali mengatakan ia perlindungan. Kami mengatakan ia sabotaj. Flotilla akan terus berlayar. Memecahkan kepungan adalah satu kewajipan moral dan undang-undang yang tidak boleh diabaikan oleh dunia,” katanya dalam akaun Instagram semalam.
Menurut GSF, tawaran dikemukakan yang dimaklumkan oleh Menteri Luar Negeri Itali itu merupakan cubaan untuk melemahkan semangat dan memecahbelahkan misi kemanusiaan yang gagal digerakkan oleh kerajaannya.
Katanya, penghantaran kapal tentera laut yang kononnya untuk melindungi peserta GSF hanyalah cubaan untuk meredakan suasana selepas jutaan rakyat Itali bangkit bersolidariti bersama Palestin dan mereka tidak akan tertipu dengan helah tersebut.
“Jika benar Itali mahu melindungi nyawa, mereka tidak akan bertindak seperti pihak yang bersekongkol dengan Israel atau memberi tekanan supaya peserta berundur.
“Sebaliknya, mereka akan menggunakan kapal tenteranya untuk memastikan laluan selamat kepada misi aman sukarelawan ke Gaza untuk menghantar bantuan yang menyelamatkan nyawa.
“Tetapi, mereka hanya mengiringi GSF sehingga di titik berbahaya, meninggalkan kami sementara Israel terus membantai dan membiarkan rakyat Palestin terus kebuluran tanpa sebarang hukuman,” katanya.
Oleh demikian, GSF menegaskan bahawa, semua 46 kapal akan terus berlayar menuju ke Gaza bagi menyampaikan mesej memecah kepungan bukannya kembali ke pelabuhan dan tanggungjawab moral mereka tidak boleh abaikan.
“Setiap inci pelayaran, setiap ancaman dihadapi hanya memperlihatkan kegagalan kerajaan sedangkan rakyat biasa terdorong melakukan dan sedang melaksanakannya (misi ke Gaza).
“Sekatan Israel adalah tidak sah. Kepungan mereka adalah jenayah. Diamnya dunia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Jika kerajaan Itali mahu diingati kerana keberanian, berlayarlah dengan kami,” katanya.-UTUSAN










