PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama mengenal pasti sekolah yang berisiko atau mempunyai masalah disiplin bagi mempertingkatkan rondaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap sekolah tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu diambil selepas dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini supaya penugasan rondaan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berfokus berdasarkan profil serta keperluan setiap sekolah.
“Daripada lebih 12,000 sekolah di seluruh negara, sudah tentu ada yang dikenal pasti berisiko tinggi, sama ada mempunyai masalah disiplin seperti ponteng, gengsterisme atau terdedah kepada pengaruh negatif media sosial.
“Jadi, kerjasama antara PDRM dan KPM ini penting supaya tindakan yang diambil lebih tepat dan berkesan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
.
Beliau berkata, langkah tersebut turut melibatkan kehadiran polis secara berkala di sekolah bagi tujuan pemantauan, selain menyertai program kesedaran atau memberi ceramah ringkas semasa perhimpunan mingguan pelajar.
Saifuddin menjelaskan, pendekatan itu bukan sekadar meningkatkan kehadiran polis di sekolah, tetapi juga membina hubungan rapat antara pelajar dan pihak berkuasa bagi memupuk budaya saling percaya dan rasa selamat.