FRASA kartel, tangan-tangan ghaib yang mengawal industri filem memberi bayangan serius memaksa kita berfikir, sudah berapa banyak filem-filem yang mati dibunuh monopoli? Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Datuk Afdlin Shauki mengatakan senario itu secara berlapik tanpa menghalakan telunjuk secara jelas kepada sesiapa.
Daripada soalan ‘ya’ atau ‘tidak’ mengenai dakwaan itu, ada baiknya kita pergi kepada persoalan lebih penting yang terbit daripada rasa sangsi. Bolehkah kuasa monopoli dicabar? Sistem bagaimana kita perlukan untuk menyeimbangkan antara ‘jerung’ dan ‘bilis’ jika benar situasi seperti dakwaan itu benar terjadi? Ekosistem filem bagaimana kita perlukan masa kini?
Hujah Afdlin jelas, kuasa ini tidak memberi ruang adil kepada pembikin filem, baik dari segi promosi mahupun kesempatan merebut slot tayangan. Sebab itu kita perlukan saluran lain seperti format Youtube, Reels mahupun bentuk platform penstriman lain agar naskhah pengkarya sampai kepada penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dr. Azmir Saifuddin Mutalib, berhati-hati mengulas isu ini mengakui bahawa struktur pengedaran dan penayangan filem di Malaysia mungkin memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu.
Namun menurutnya, kita harus menjadi matang dengan mempertimbangkan keadaan dari lensa premis atau entiti perniagaan. Sudah tentu mereka mendambakan pulangan komersial melihat kepada hubungan lama, rekod prestasi atau apa sahaja perkara yang difikirkan untuk ‘mempertahankan’ sesuatu produk.
“Kalau kita lihat dalam mana-mana perniagaan pun contohnya kedai serbaneka, pasti akan ada pengedar yang mereka utamakan. Ini bergantung kepada banyak faktor antaranya konsistensi, rekod kerjasama, promosi dan sebagainya.
“Industri filem kita juga tidak terkecuali daripada prinsip ini,” ujar beliau ketika temu ramah bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Malah, Azmir yang bertanggungjawab menentukan hala tuju Finas sejak 2023 mengakui itulah perkara cuba difikirkannya agar pengkarya independen khususnya mendapat peluang sama rata dalam ekosistem filem.
“Inilah yang Finas sedang usahakan, kita fikirkan bagaimana mahu membawa penerbit filem independen kepada penonton. Kita bantu bagaimana mahu bawa filem mereka ke pawagam. Kita lakukan perbincangan dengan pihak pengedar dan pawagam.
“Ada filem bercorak komersial dan ada filem sebaliknya tapi mempunyai nilai bagus dalam seni perfileman sekali gus mempunyai ciri-ciri yang perlu ada untuk memenangi anugerah. Pendek kata, ada filem kita boleh bantu dari aspek komersial, tapi ada filem yang kita boleh bantu untuk menang festival filem,” katanya.
Dalam pada itu, Azmir tidak menafikan pengkarya sudah bijak meneroka laluan lain agar karya mereka dapat dinikmati penonton dengan cara berbeza.
“Saya menghubungi Afdlin dan kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau menghadiri program memperkenalkan aplikasi Karya Reels oleh Erma Fatima. Beliau maksudkan, apa yang dilakukan Erma telah membuka peluang dan ruang kepada penggiat industri dan pembikin filem.
“Tidak perlu bergantung kepada pawagam semata-mata untuk menyiarkan kandungan. Mereka boleh buat perancangan sama ada nak hantar ke pawagam dahulu, nak siarkan di platform penstriman atau bagaimana,” ceritanya yang turut memuji usaha KRU Studios sedang mengikuti jejak Erma Fatima.
Bagaimanapun, tegasnya, Finas sedia mendengar keluh kesah dan aduan mana-mana pihak agar tiada pihak terpinggir dalam ekosistem perfileman tempatan.
“Finas sentiasa memantau agar tiada monopoli. Jika ia terjadi, sudah tentu kami akan menegur agar setiap penggiat industri boleh bawa naskhah mereka ke hadapan.
“Kalau boleh kita mahu semua orang dapat peluang perniagaan sama rata baik pembikin filem pertama kali, pembikin independen agar naskhah mereka masuk ke pawagam dan sebagainya,” katanya menutup temu ramah.-UTUSAN