SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan maut selepas dihempap tiang konkrit pagar rumah dalam kejadian di daerah ini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa sedang bermain bersama kakaknya sebelum tiang pagar yang tidak kukuh tumbang lalu menghempapnya.
“Ibu mangsa segera membawa anaknya ke hospital namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.14 malam,” katanya.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan kepala akibat hentakan objek berat manakala tiada kecederaan lain dikesan.
“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujar beliau. – UTUSAN










