Kamal Adli pilih selesaikan isu kekeliruan tarikh nikah secara dalaman - Utusan Malaysia

Kamal Adli pilih selesaikan isu kekeliruan tarikh nikah secara dalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Kamal Adli memilih untuk menyelesaikan isu kekeliruan tarikh dan waktu pernikahannya dengan isteri, Uqasha Senrose, secara dalaman tanpa melibatkan pihak luar.

Peguam yang mewakilinya, Hadi Saleh, berkata, perkara berkenaan bersifat peribadi dan membabitkan urusan kekeluargaan yang wajar diselesaikan secara tertutup.

“Isu tarikh nikah itu saya tidak mahu ulas kerana kami sedang berusaha menyelesaikannya secara dalaman.

“Ia melibatkan hal keluarga dan bukan sesuatu yang sesuai untuk dibincangkan secara terbuka,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut Hadi, pihaknya telah mengemukakan surat penjelasan kepada peguam yang mewakili Uqasha bagi menerangkan situasi sebenar.

“Setakat ini kami sudah menjelaskan perkara berkenaan secara rasmi. Kami berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan atau diperdebatkan di ruang awam,” tambahnya.

Sementara itu, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, turut tampil memohon maaf dan menyatakan bahawa dia sudah memaafkan isterinya atas kenyataan yang dibuat mengenai isu tersebut.

“Itu isteri saya. Walaupun kami belum bertemu, sebagai suami saya maafkan dia.

“Ada juga kekhilafan daripada saya sendiri, jadi bukan sepenuhnya salah dia. Kami akan selesaikan perkara ini dalam keluarga,” ujarnya.

Terdahulu, Uqasha dikatakan menimbulkan persoalan mengenai kekeliruan tarikh serta waktu pernikahan mereka selepas menghadiri satu prosiding di mahkamah.

Pasangan selebriti itu sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas timbul spekulasi kononnya rumah tangga mereka berada di ambang perpisahan pada April lalu.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN