Kalau diizinkan, saya akan pergi lagi – Haroqs

Kalau diizinkan, saya akan pergi lagi – Haroqs

Haroqs disambut penyokong yang hadir memberi sokongan selepas tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: ‘Kalau diizinkan, saya akan pergi lagi, Insya-Allah.’

Itu jawapan ringkas aktivis, Muhammad Hareez Adzrami, 25, atau lebih dikenali sebagai Haroqs, ketika ditanya sama ada dia sanggup untuk menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sekali lagi.

Haroqs merupakan antara 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang berakhir dengan kesemua mereka ditahan oleh tentera Israel sebelum dibebaskan pada 4 Oktober lalu.

Berkongsi pengalaman, personaliti media sosial itu mengakui perjalanan penuh getir itu benar-benar menguji fizikal, emosi dan semangat mereka, namun setiap detik pengorbanan itu tidak pernah sia-sia.

“Saya gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan dan menyokong kami dari jauh.

“Saya harap pengorbanan kami semua ini dapat membuka mata, terutama kepada generasi muda untuk terus cakna dan bersama membantu rakyat Palestin,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, malam tadi.

Terdahulu, pesawat Emirates yang membawa 27 sukarelawan GSF itu selamat mendarat kira-kira pukul 10.07 malam.

Sementara itu, seorang lagi aktivis muda yang menyertai misi GSF, Haikal Abdullah, 25, dilihat menarik nafas lega apabila bertemu seluruh ahli keluarganya, selepas melalui pelayaran penuh risiko di perairan antarabangsa.

Menurut Haikal, kepulangannya dari misi itu juga bukan lah satu penamat dan mereka akan terus bersolidariti demi bumi Palestin.

Walaupun berdepan ancaman daripada tentera Israel, Haikal yang menaiki kapal Sirius ketika misi berkenaan tetap teguh dengan pendirian bahawa perjuangan membela rakyat Palestin bukan hanya milik segelintir, tetapi perjuangan sejagat.

“Perjuangan ini lebih besar daripada kita. Ia perjuangan masyarakat sejagat, dari yang kecil hingga dewasa. Semua orang ada peranan, ada keberanian tersendiri. Kalau tak mampu pergi, kita bantu dengan doa, dengan suara, dengan apa sahaja kemampuan,” ujarnya.

Haikal turut menyeru anak-anak muda, termasuk masyarakat bukan Islam, agar tidak takut untuk bangkit bersama dalam misi kemanusiaan.

“Sebagai manusia, sebaik-baik kita adalah yang memberi manfaat kepada manusia lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN