‘Kahwin sederhana, tidak mahu pening’ - Utusan Malaysia

‘Kahwin sederhana, tidak mahu pening’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA peminat menjangkakan majlis perkahwinan penyanyi dan pelakon, Erra Fazira akan mengulangi kembali julukan wedding of the year dengan pelamin serba megah atau disiarkan siaran langsung di stesen televisyen, anda akan hampa.

Bagi Erra atau Fazira Wan Chek, 51, jika benar takdir menjodohkannya sebagai pasangan suami isteri dengan usahawan, Ezwan Zain, beliau mahukan sebuah majlis yang serba sederhana namun penuh dengan suasana ceria menjamu sahabat dan orang-orang yang mendoakan kebahagiaannya selama ini.

“Saya sudah pernah merasa majlis perkahwinan mewah, begitu juga dia (Ezwan). Jadi jika benar ada jodoh, saya mahu majlis itu sangat sederhana dan ringkas tapi seronok. Tidak mahu besar-besaran. Itu impian saya.

“Cukuplah, lagi pula kalau majlis besar-besar pening, banyak kerja. Saya mahu santai-santai sahaja,” katanya sambil ketawa ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Erra yang juga merupakan ibu kepada seorang anak, Engku Aleesya, 16, apa yang lebih penting dalam perkahwinan ialah kehidupan selepas majlis. Bagaimanapun, penyanyi Pertemuan itu tidak menafikan bakal suami, Ezwan Zain mengakui tertekan dengan permintaan itu kerana gusar keinginan mereka tidak selari dengan harapan khalayak.

“Saya ada ingatkan dia juga jangan tertekan dengan permintaan ini. Dia pernah cakap ‘saya mahu kahwin dengan awak, tapi kalau majlis biasa-biasa nanti orang kata saya tidak berikan terbaik untuk awak’.

“Saya cuba fahamkan Ezwan, santai sahaja tidak perlu terlalu beriya-iya. Kalau mahu terima tajaan, ini juga syarat yang ingin saya tetapkan. Bagi saya majlis kahwin yang intim lebih menyeronokkan, berbeza dan tidak klise.

“Ingin melunaskan segala yang wajib selebihnya bergembira dengan ahli keluarga dan rakan-rakan,” ceritanya yang mengakui belum memutuskan tarikh keramat untuk penyatuan hatinya dan Ezwan walau soalan itu telah diasak media berkali-kali.

GIMIK? CARILAH ARTIS MUDA

Ketika peminat teruja kerana ini kali pertama pelakon Hingga Hujung Nyawa itu terbuka bercerita tentang perasaan. Namun Erra tidak menafikan wujud suara sumbang mengaitkan hubungannya bersama Ezwan sebagai gimik pemasaran.

“Saya dan Ezwan masing-masig sudah matang dan dewasa. Kami bukan mahu mencari tempat persinggahan apalagi melakukan gimik promosi. Jika mahu buat begitu, lebih baik cari artis muda sahaja.

“Saya pun pernah kata kepada Ezwan, kalau sekadar mahu main-main atau cuba-cuba, carilah orang lain. Saya memang gembira dengan hidup saya. Jika sukakan saya, dekatilah dengan cara yang terhormat. Lagipun kami berdua sudah mempunyai anak.

“Tapi saya nampak dia berusaha ke arah itu. Saya boleh beri jaminan dia tidak menggunakan saya begitu juga sebaliknya. Harap tiada peminat yang risau,” tambahnya.

Bagaimanapun, apabila bercakap tentang jodoh, Erra menyerahkan semuanya kepada Allah. Sebagai manusia, beliau mengakui hanya boleh berdoa agar perjalanannya dalam memilih bakal pasangan akan dipermudahkan dan mendapat restu keluarga.

“Saya berhati-hati dalam soal jodoh, cuma kadang sudah berjaga-jaga tetap lakukan kesalahan. Cuma jika perjalanan mengenali seseorang itu mudah, mungkin itulah jodoh kita. Saya susah nak cakap, serahkan kepada Allah sahaja.

“Cuma saya lihat jika ada keserasian, hubungan direstui keluarga dan mendapat doa semua orang, itu petanda baik. Dalam doa, saya sebut jika ini jalan terbaik, minta Allah mudahkan. Berikanlah pasangan yang melengkapkan kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN