BAGAN DATUK: Kadar kematian tinggi di kalangan generasi muda akibat kemalangan jalan raya khususnya melibatkan motosikal membimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja yang berpotensi untuk menjadi pekerja mahir.
Katanya, perangkaan menunjukkan lebih 82 peratus kematian di jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala 90 peratus mangsa tersebut berusia 30 tahun ke bawah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, berkata kira-kira 500,000 kemalangan dan lebih kurang 6,000 kematian berlaku di jalan raya di negara ini setiap tahun.
“Ini perangkaan yang amat mengecewakan kerajaan.
“Jika sebuah padang bola sepak boleh mengisi 1,000 kubur, maka setiap tahun kita ada enam padang bola sepak untuk mengisi 6,000 kubur,” katanya berucap merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Parlimen Bagan Datuk, Peringkat Negeri Perak 2025, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun bagi mewakili Menteri Besar;Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, memohon dan merayu anak muda di seluruh negara khususnya yang memperolehi lesen motosikal secara percuma, agar sentiasa menyayangi nyawa mereka ketika berada di jalan raya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meminta mereka menunggang motosikal mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan kerana kematian mereka bermakna negara kehilangan aset yang berharga.
“Saya juga ‘biker’ dan menunggang secara berkonvoi dari Medan ke Bali di Indonesia; dari Johor Bahru ke Chiang Rai, Thailand; dari Washington ke California di Amerika Syarikat dan dari Jeddah, Arab Saudi ke Oman.
“Tetapi, saya masih hidup dan tidak cacat kerana saya (menunggang motosikal) (dengan) mematuhi peraturan jalan raya.
“Saya juga ada motosikal ‘kapcai’ dan teringin juga nak ‘willy’ (menunggang dengan mengangkat tayar hadapan motosikal), tetapi saya lebih sayangkan nyawa saya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada JPJ kerana berjaya mengutip cukai dan pelbagai bayaran lain bernilai RM5.2 bilion tahun lalu.
Katanya, agensi tersebut menyasarkan peningkatan amaun itu kepada RM6 bilion sepanjang tahun ini, secara tidak langsung boleh memberi sumbangan kepada masyarakat dengan menawarkan lebih banyak lesen motosikal percuma kepada anak muda. – UTUSAN