SEPANG: Seorang pelajar universiti awam dijatuhkan hukuman denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjual video lucah di aplikasi Telegram dengan tujuan komersil pada Julai lalu.
Tertuduh, Muhammad Aidil Akmal Azhar, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9.52 malam di sebuah kondominium di ibu negara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Telegram menerusi sebuah akaun bernama “@cocomelon87” bagi menghantar satu video lucah bertajuk Promo July24 yang telah dibeli oleh seorang pegawai penyamar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan bayaran RM100.
Kesalahan tersebut boleh menyebabkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9.52 malam di sebuah kondominium di ibu negara.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fadhli Ab Wahab dan Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala tertuduh diwakili oleh Sabrina Mohammad dan Muhammad Iman Azhar.
Dalam rayuan, peguam bela memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh masih muda dan baru menamatkan pengajian di universiti.
“Anak guam kami menyesali perbuatannya dan pengakuan salah ini menjimatkan masa serta kos mahkamah. Beliau memohon peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwa menegaskan kesalahan itu memberi kesan serius kepada masyarakat dan tidak boleh dianggap ringan.
“Tindakan menjual serta menyebar kandungan lucah untuk keuntungan peribadi boleh menjejaskan moral generasi muda dan menggalakkan jenayah siber,” katanya.
Katanya lagi, hukuman tegas wajar dikenakan bagi memberi mesej jelas bahawa penyalahgunaan platform media sosial bagi tujuan tidak bermoral tidak akan dikompromi.
Dalam pada itu, Ahmad Fuad menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan yang mencemar maruah diri serta menyalahi undang-undang.
“Gunakan kebijaksanaan dan ilmu yang diperoleh di universiti ke arah kebaikan, bukan untuk perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Aidil telah dijatuhkan hukuman denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas tuduhan penyebaran kandungan video lucah pada Mac tahun lalu. – UTUSAN