IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan sebanyak RM60,750 hasil jualan 50 kenderaan pelbagai jenis yang dilelong di Pejabat JPJ negeri di sini hari ini.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, bidaan tertinggi melibatkan kereta jenis Honda dengan nilai lelongan RM11,000 manakala bidaan terendah dengan nilai RM50 membabitkan motosikal model Suzuki, SYM dan Demak.
Katanya, daripada 50 kenderaan itu, sebanyak 40 kenderaan boleh dilesenkan dengan baki 10 lagi kenderaan tidak boleh dilesenkan termasuk dua kenderaan klon.
“Lelongan kali ini melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal, kereta, van, lori dan kenderaan utiliti pelbagai guna (MUV) yang disita hasil operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.
“Secara keseluruhan, jumlah harga rizab yang ditetapkan bagi lelongan kali ini ialah RM46,450, dengan harga rizab tertinggi melibatkan lori sampah Hino bernilai RM8,800 dan rizab terendah RM50 untuk motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, setiap kenderaan yang dilelong perlu melalui prosedur sitaan yang panjang termasuk pengesahan mahkamah dan penilaian pasaran bagi menentukan harga rizab.
Katanya, selepas kenderaan disita, notis pertama akan dihantar kepada pemilik dalam tempoh sebulan dan sekiranya tiada tuntutan, notis kedua dikeluarkan kepada pihak berkaitan seperti bank atau syarikat kredit.
“Untuk bulan ketiga, kita akan memohon lucut hak di mahkamah. Setelah diluluskan, barulah kenderaan disahkan untuk dijual secara sah melalui lelongan awam,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 76 buku lelongan dijual dengan kutipan RM5,320 melibatkan 52 pembida yang mengambil bahagian dalam lelongan kali ini. – UTUSAN









