PUTRAJAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka menyiapkan 61 buah lagi projek pembinaan sekolah di seluruh negara, termasuk kompleks sekolah baharu, tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah projek bina sekolah di bawah rancangan pembangunan fasa lima dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Beliau berkata, pembinaan sekolah menggunakan 70 peratus Sistem Binaan Berindustri (IBS), selaras dengan dasar kerajaan.
“Kerjasama yang dijalinkan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) itu antara usaha kerajaan bagi menangani isu sekolah berkepadatan tinggi di beberapa bandar utama di seluruh negara,” katanya selepas menyaksikan penyerahan projek pembinaan sekolah baharu Kompleks Sekolah Presint 15, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Alexander berkata, Kompleks Sekolah Presint 15 dibina dengan kos RM117 juta serta disiapkan awal 45 hari daripada tarikh yang dijadualkan.
Menurutnya, ia dibina menggunakan teknologi pembinaan terkini itu termasuk menggunakan Building Information Modelling (BIM) tahap LOD500.
“Kompleks ini akan menempatkan kelas pra-sekolah, bangunan untuk sekolah rendah dan sekolah menengah dalam satu kawasan yang sama, selain kemudahan lain seperti surau dan dewan serbaguna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKR, Datuk Roslan Ismail berkata, sebanyak 61 projek pembinaan kemudahan sekolah bawah KPM itu adalah antara 1,251 projek bawah RMK12 yang dilaksanakan JKR secara berperingkat-peringkat.
“Ia terdiri daripada pembinaan kompleks sekolah baharu dan juga bangunan tambahan bagi menangani isu kepadatan murid,” katanya.
Ditanya adakah semua pembinaan kemudahan sekolah di masa hadapan akan dibina menggunakan IBS, Roslan berkata ia bergantung kepada lokasi projek terutama jika ia di kawasan pendalaman.
Ketika ini, sebanyak 53 projek pembinaan sekolah dan bangunan tambahan sekolah dalam fasa lima rancangan pembangunan RMK12 sudah diserahkan kepada KPM, dengan sejumlah besar berada di Selangor, membabitkan 45 projek. – UTUSAN