KUALA KANGSAR: Anggota tentera yang maut selepas trak dinaiki terjunam ke dalam gaung di Kilometer 257, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam, diberikan penghormatan mengikut istiadat ketenteraan sebelum jenazah dibawa menaiki van jenazah ke Kedah untuk pengebumian.
Sebelum itu, jenazah mangsa yang dikenali Ruzaimi Md Shariff dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, dimandi, dikafan serta disolatkan.
Proses berlangsung sehingga pukul 12.30 tengah malam semalam.
Difahamkan jenazah dibawa ke Taman Permai Jaya, Kuala Ketil, Kedah bagi urusan pengebumian.
Dalam kejadian sekitar pukul 5 petang semalam, trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinaiki tujuh anggota terbabas sendiri sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam enam meter.
Kemalangan selepas Terowong Menora itu berlaku di laluan berselekoh dan menuruni bukit ketika hujan.
Difahamkan, ketika kejadian trak tentera dipercayai dalam perjalanan dari Kem Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2RRD) Ipoh menuju ke Kem Batalion Kesembilan RRD di Taiping.
Nahas tersebut turut mengakibatkan enam yang lain termasuk pemandu trak cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis Diraja Malaysia menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kes kemalangan ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Amaliena Azman, Pegawai Perundangan/Pendakwaan Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222,” katanya. – UTUSAN