Kerjasama pendidikan antara dua negara ASEAN iaitu Malaysia dan Thailand terus diperkukuh menerusi program yang memberi peluang pelajar kedua-dua negara berinteraksi dan bertukar pengalaman.
Inisiatif itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim serantau, malah memperkukuh usaha perkongsian ilmu antara dua negara.
Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras sekali lagi melakar sejarah apabila menjalin kerjasama antarabangsa dengan Maryvit Education Center, Thailand melalui sebuah program rasmi yang berlangsung meriah di perkarangan sekolah, baru-baru ini.
Kerjasama ini dianggap langkah penting dalam memperkukuh hubungan pendidikan serantau, khususnya dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Guru Penyelaras Pendidikan Kewarganegaraan Sejagat (GCED), Mohd. Nasir Zakaria berkata, program seumpama itu memberikan imej yang baik kepada Malaysia kerana melibatkan komitmen dan keyakinan tinggi daripada pelbagai pihak.
“Ini jelas menggambarkan sistem pendidikan negara kita berada pada tahap yang terbaik. Guru-guru juga menunjukkan kewibawaan serta komitmen tinggi untuk menjayakan program ini.
“Inisiatif sebegini membuktikan Malaysia terbuka untuk menerima dan berkongsi pengalaman pendidikan dengan negara jiran,” katanya kepada Utusan Pelajar .
Menurut beliau, ruang ini amat bermanfaat dalam memperkukuh nilai murni serta membina kefahaman bersama tentang kepentingan hidup dalam harmoni.
Beliau turut berharap konsep GCED dapat diperluaskan ke seluruh negara supaya lebih ramai murid didedahkan dengan nilai sejagat seperti saling menghormati, bekerjasama dan menolak perbezaan sebagai penghalang.
Sementara itu, guru SKBTHO 2, Siti Nur Aisyah Tajuddin menyifatkan program tersebut sebagai platform terbaik untuk mendidik murid agar berfikiran global dan berjiwa ASEAN.
“Saya amat berbesar hati dengan jalinan kerjasama antarabangsa ini yang bukan sahaja memperkukuh hubungan pendidikan, malah memberi peluang murid kita mengenali budaya serta sahabat baharu di luar negara.
“Semoga ia menjadi titik permulaan kepada kejayaan lebih besar di masa hadapan,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik berlangsung sepanjang program, antaranya forum murid antarabangsa, sesi perkongsian ilmu antara guru, persembahan kebudayaan serta aktiviti menanam pokok sebagai simbol persahabatan dua negara.
Selain itu, program turut membuka peluang kepada guru untuk bertukar idea berkaitan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Pertukaran pengalaman ini sekali gus memperkayakan amalan pedagogi yang inklusif dan bermakna.
Murid yang terlibat memperoleh pengalaman berharga apabila berpeluang berinteraksi dengan rakan sebaya dari negara lain dengan bekerjasama melakukan aktiviti dalam kumpulan.
Murid turut berpeluang untuk merasai pengalaman pertukaran budaya, dengan persembahan ‘kalam jamaie’ atau bicara berirama daripada SKBTHO 2, disusuli tarian tradisional Thailand oleh pelajar Maryvit Education Center.
Sementara itu, aktiviti menanam pokok persahabatan menjadi detik simbolik bermakna, melambangkan harapan agar hubungan dua negara terus mekar subur seperti pohon yang tumbuh segar.
Pihak Maryvit Education Center turut menzahirkan penghargaan atas layanan mesra dan hospitaliti warga SKBTHO 2 sepanjang program berlangsung. Mereka yakin jalinan ini membuka lebih banyak ruang kolaborasi pendidikan pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mengangkat imej SKBTHO 2 sebagai sekolah progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. – UTUSAN