KUANTAN: Isu disiplin pelajar sekolah semakin membimbangkan apabila kes buli, rogol dan terbaru insiden tikaman membabitkan pelajar terus mencemarkan institusi pendidikan negara.
Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menyuarakan kebimbangan berhubung isu disiplin pelajar yang dilihat kian meruncing sekali gus boleh mencemarkan imej sekolah sebagai tempat pembentukan sahsiah dan ilmu.
Presiden Peka, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, insiden-insiden yang berlaku bukan sahaja mencemarkan imej sekolah sebagai tempat menimba ilmu, malah dibimbangi menggugat keselamatan warga pendidik dan pelajar lain.
“Kita tidak boleh lagi anggap ini sebagai kes terpencil. Apabila ada pelajar sanggup mencederakan pelajar lain, ia menunjukkan krisis nilai, disiplin yang perlu ditangani segera. Sekolah sepatutnya menjadi tempat bagi membina akhlak, bukan medan keganasan.
“Jadi, Peka melihat sampai masanya Kementerian Pendidikan menyediakan garis panduan berhubung hukuman terhadap murid dan pelajar yang melanggar disiplin atau nakal di sekolah.
“Garis panduan tersebut perlu jelas berkaitan prosedur hukuman seperti rotan supaya golongan pendidik tidak dipersalahkan dan diambil tindakan undang-undang oleh ibu bapa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut disyaki akibat ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan. Polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, jika dahulu, pada zaman 70an hingga 80an, hukuman berbentuk fizikal, seperti rotan dan sebat antara tindakan biasa dikenakan oleh guru untuk membentuk disiplin murid dan pelajar ketika itu.
“Pada waktu itu, anak murid dan pelajar tidak berani mengadu kepada ibu bapa atau penjaga sekiranya dirotan atau disebat, tetapi senario ketika ini jauh berbeza.
“Apabila menghukum murid, guru dimarahi, diserang oleh ibu bapa sehingga ada dikenakan tindakan undang-undang. Ini tidak wajar kerana boleh mewujudkan situasi tidak baik sehingga menyebabkan guru malas mendidik anak murid yang tidak beradab dan tidak berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata, Peka menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape atau rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah, khususnya yang mengandungi bahan terlarang seperti dadah sintetik.
“Ramai pelajar kini mengalami gangguan mental akibat penggunaan vape yang tidak dikawal. Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah memberi kesan kepada emosi, tumpuan belajar dan tingkah laku mereka. Ini ancaman baharu yang perlu ditangani secara menyeluruh oleh pihak berkuasa dan masyarakat,” tegasnya.
Beliau menggesa agar pemantauan lebih ketat dilakukan terhadap penjualan vape kepada pelajar serta pendidikan kesedaran diperluaskan di sekolah dan komuniti. – UTUSAN