Israel perlu bayar ganti rugi kepada peserta Sumud Flotilla

Israel perlu bayar ganti rugi kepada peserta Sumud Flotilla

AZRIL MOHD. AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai lima aktivis undang-undang hak asasi manusia Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) berada di Amman, Jordan bagi memastikan aktivis rakyat Malaysia mendapat perlindungan undang-undang secara telus dan adil.

Pengerusinya, Azril Mohd. Amin berkata, pihaknya dengan pasukan undang-undang hak asasi manusia yang berpangkalan di Israel itu adalah ‘The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel’, bagi memastikan hak asasi manusia dihormati dan prinsip undang-undang antarabangsa dipatuhi.

“Tentera Israel digesa membebaskan semua delegasi Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menindas misi kemanusiaan itu di perairan antarabangsa. 

“Rejim zionis itu juga perlu memberikan pampasan kepada mangsa dan pemilik kapal yang menyertai misi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi antarabangsa dan masyarakat sivil tempatan perlu mengambil tindakan segera menghentikan pencabulan Israel, termasuk genosid di Gaza. 

“Tindakan Israel jelas membahayakan nyawa penumpang dan mencabul hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan berdasarkan Artikel 7 dan 9, Konvensyen Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR).  

“Misi Flotilla ini adalah misi aman dan kemanusiaan semata-mata, demi melaksanakan hak kebebasan pelayaran antarabangsa. Tindakan Israel menghalang dan menahan flotilla adalah pelanggaran undang-undang laut antarabangsa,” katanya. 

Azril berkata, sebagai kuasa pendudukan yang tidak sah, Israel wajib memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan sampai ke Gaza berdasarkan Konvensyen Geneva.  

Sebaliknya, katanya, Israel terus menggunakan kelaparan sebagai senjata perang, jenayah yang turut menjadi asas waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN