Insiden bunga api punca pembakaran bahan letupan terlarang

Insiden bunga api punca pembakaran bahan letupan terlarang

Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan insiden letupan bunga api di Payan Besar, Kulim berpunca daripada pembakaran bahan letupan disyaki jenis piroteknik yang tidak dibenarkan dijual kepada orang awam.

KDN dalam kenyataan berkata, susulan itu, pihaknya menegaskan bahawa penjualan, pemilikan dan penggunaan bunga api atau mercun yang tidak diluluskan adalah haram di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

​“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Dua orang suspek yang disyaki terlibat dalam pembakaran bahan letupan tanpa permit sah telah ditahan.

“Siasatan dijalankan merangkumi aspek kecuaian, pemilikan haram serta pengendalian bahan letupan tanpa kebenaran,” katanya hari ini.

​KDN memberikan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk penarikan semula kelulusan syarikat pengendali bunga api gagal mematuhi peraturan.

Pada masa sama, KDN mengesahkan kejadian letupan bunga api yang berlaku di kawasan Paya Besar, Kulim, Kedah pada kelmarin.

“Insiden ini melibatkan bahan letupan serta bunga api yang berlaku ketika orang ramai sedang menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan tersebut.

​“Akibat letupan, seramai 22 orang mangsa cedera yang sebahagiannya menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kulim, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

KDN berkata, orang awam serta penganjur aktiviti keramaian diingatkan supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi garis panduan KDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“KDN bersama dengan PDRM akan terus memantau situasi semasa sepanjang musim perayaan dan menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“KDN kekal komited untuk memperkukuh peranan menjaga keselamatan dalam negeri, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN