PETALING JAYA: Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) kini hanya sekitar 20 jam dari Gaza selepas masuk ke zon merah iaitu 100 batu nautika dari pesisir pantai wilayah yang sedang bergolak tersebut.
Berdasarkan pengesan kedudukan Sumud Nusantara yang dibangunkan Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), setakat pukul 11 malam ini, 44 kapal GSF kini berada 94.5 batu nautika dari pantai Gaza yang dijangka memakan masa 20 jam perjalanan.
Menerusi laman sesawang Sumud Nusantara Official, delegasi GSF kini telah memasuki zon merah, hanya kira-kira 100 batu nautika atau 185 kilometer dari Gaza.
Katanya, ketika ini, seluruh kapal delegasi sedang melakukan persiapan terakhir menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal menanti.
“Inilah saat paling genting. Kami menyeru umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit, sebarkan dan doakan tanpa henti agar pelayaran bersejarah ini selamat menembusi kepungan haram Israel dan sampai kepada saudara kita di Gaza,” katanya hari ini.
Sementara itu, pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan menulis di Facebook miliknya GSF secara rasminya memasukk zon merah.
“Allahu’akbar! Kita sudah masuk zon merah. Langit ini adalah langit yang sama kami kongsikan dengan G (Gaza),” tulisnya.
Seorang lagi pempengaruh yang mengikuti konvoi GSF, Farah Lee pula menzahirkan kesyukuran selepas berjaya melepasi zon merah walaupun menghadapi pelbagai cabaran sebelumnya.
“Alhamdulillah, setelah pelbagai cabaran dan halangan Farah Lee dan team (pasukan) Sumud untuk sampai ke sini berjaya ditempuh, kini cabaran utama bakal bermula,” katanya.-UTUSAN










