PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian vaksin influenza secara tahunan kepada pelajar berisiko, khususnya yang tinggal di asrama.
Ini susulan arahan kepada 34 daripada 57 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas 2,724 pelajar dijangkiti influenza.
Langkah itu wajar disegerakan kerana influenza berupaya merebak dengan pantas di persekitaran sekolah dan boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius sekiranya tidak dikawal lebih awal.
Pensyarah kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pemberian vaksin secara tahunan ini dilihat sebagai langkah proaktif yang bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan masyarakat, tetapi juga berperanan penting dalam melindungi golongan berisiko tinggi.
Ia boleh dilaksanakan melalui subsidi kerajaan sebagai usaha pencegahan awal terhadap penularan wabak di sekolah dan institusi pendidikan.
Menurut Dr. Sharifa, langkah itu wajar juga diperluaskan kepada guru serta warden yang turut berdepan risiko jangkitan tinggi berikutan kekerapan berinteraksi dengan pelajar.
“Kebimbangan kita ialah guru dan warden berisiko dijangkiti penyakit tersebut dan berpotensi membawa virus ke rumah masing-masing dan menyebarkan virus kepada ahli keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Mara mengarahkan 34 MRSM seluruh negara melaksanakan PdPR susulan penularan jangkitan influenza dalam kalangan pelajarnya.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata langkah itu diambil selepas setiap MRSM berkenaan mencatatkan jangkitan influenza melebihi 50 kes dan setakat semalam seramai 2,724 pelajar MRSM dikenal pasti di jangkiti virus berkenaan.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan ketara kes influenza setakat Minggu Epidemiologi 40/2025 (akhir September hingga awal Oktober tahun ini), dengan 97 kluster dikesan berbanding hanya 14 minggu sebelumnya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Aidalina Mahmud berkata, walaupun influenza tidak seteruk Covid-19 dan kebanyakan kes bergejala ringan, penularan pantas dalam komuniti tertutup masih boleh menjejaskan operasi sekolah hingga memaksa pelaksanaan PdPR.
Katanya, pelajar yang sakit sebaiknya diurus dalam kampus bagi mengelak penularan di luar, namun jika tiada fasiliti rawatan sesuai, menghantar mereka pulang merupakan langkah praktikal dalam keadaan tertentu.
“Namun, pelajar bergejala yang pulang perlu memakai pelitup muka ketika bersama keluarga dan mengehadkan aktiviti luar seperti membeli-belah. Kita tidak mahu jangkitan merebak ke komuniti,” katanya.
Dr. Aidalina berkata, pelajar yang terdedah tetapi tidak bergejala perlu memantau simptom diri sekurang-kurangnya empat hingga lima hari kerana tempoh inkubasi influenza lazimnya antara satu hingga empat hari.
“Jika simptom seperti demam, batuk atau sakit tekak muncul, mereka boleh berjangkit selama lima hingga tujuh hari. Dalam tempoh itu, elak perhimpunan sosial dan pakai pelitup muka sehingga pulih sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, PdPR perlu dilihat sebagai langkah pencegahan sementara, bukan penyelesaian jangka panjang.
“Langkah ini penting untuk mengawal penyakit, tetapi PdPR berpanjangan boleh menjejaskan motivasi, kesihatan mental dan pencapaian akademik pelajar. Maka, pelaksanaannya perlu terancang dan tidak berlarutan.
“Bantuan seperti nota bercetak, rakaman ringkas atau tugasan bertulis boleh membantu pelajar berpendapatan rendah agar tidak tercicir,” katanya.
Katanya, keseimbangan antara kesihatan dan pembelajaran boleh dicapai melalui pelaksanaan kelas bersemuka yang selamat, dengan sekolah menitikberatkan ventilasi silang, etika batuk dan penjarakan asas semasa gejala meningkat.
“Pada masa sama, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempunyai pelan kontingensi tahunan yang menetapkan garis panduan jelas bila sekolah perlu ditutup dan bila PdPR boleh diaktifkan,” katanya.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo dalam kenyataan turut menasihati orang ramai bertenang susulan peningkatan kes Influenza A dan B di seluruh negara kerana dipantau rapi KKM.
Keadaan masih terkawal namun langkah pencegahan asas seperti menjaga kebersihan diri, menutup mulut ketika batuk dan memakai pelitup muka perlu diamalkan. – UTUSAN










