Influenza punca murid tahun lima meninggal dunia?

Influenza punca murid tahun lima meninggal dunia?

NORMALA Mohd Nor menunjukkan gambar Muhammad Amsyar Farhan Mohd. Noor semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang murid tahun lima di sebuah sekolah di Dungun, dekat sini meninggal dunia hari ini dipercayai akibat jangkitan influenza.

Muhammad Amsyar Farhan Mohd. Noor, 11, yang juga anak bongsu daripada dua beradik menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.40 pagi di Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).

Ibunya, Normala Mohd Nor, 42, berkata, anaknya menunjukkan tanda tidak sihat pada pagi Selasa sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta di Paka untuk mendapatkan rawatan.

“Anak saya demam pagi Selasa, ketika itu suhu badannya tidak terlalu tinggi. Saya bawa ke klinik swasta kira-kira pukul 12.30 tengah hari.  Doktor kemudian buat ujian swab dan beritahu dia dijangkiti influenza sebelum beri ubat antiviral,” katanya di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Normala berkata, anaknya sempat mengambil dua biji ubat antiviral seperti diarahkan doktor sebelum keadaannya semakin merosot pada malam hari.

“Dia mula muntah banyak kali pada malam berkenaan tetapi masih boleh makan. Selepas muntah kali ketiga, badannya tiba-tiba kejang dan saya terus bawa ke Klinik Kesihatan AMBS. Ketika itu suhu badannya tidak begitu panas dan tidak mengadu sakit di mana-mana anggota badan. Anak saya juga masih boleh bercakap seperti biasa dengan ayahnya. Sekitar 1.40 pagi, doktor maklumkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya.

Normala berkata, anaknya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik sebelum ini dan sebelum kejadian sentiasa sihat.

Jenazah mangsa masih berada di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan Islam AMBS, Dungun.

Utusan Malaysia sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung kes ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN