Industri peranti perubatan catat lonjakan eksport cecah RM37 bilion

Industri peranti perubatan catat lonjakan eksport cecah RM37 bilion

DZULKEFLY Ahmad bersama Ewon Benedick melakukan gimik perasmian Majlis Pelancaran IMDEC 2026 dan MedTechPreneur 1.0 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Industri peranti perubatan negara terus menunjukkan pertumbuhan dan daya tahan luar biasa dengan mencatatkan lonjakan eksport sebanyak 31 peratus pada tahun 2024, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM37 bilion.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dalam tempoh antara 2021 hingga 2024, sektor strategik itu berjaya menarik pelaburan domestik dan asing berjumlah RM20 bilion, sekali gus menyumbang kira-kira RM1.8 bilion setahun kepada ekonomi negara serta mewujudkan lebih 130,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Di bawah kerangka Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor peranti perubatan dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

“Ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai pelaburan Malaysia, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan menjadikan negara sebagai hab teknologi serta inovasi perubatan bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada pra pelancaran program International Medical Device Conference (IMDEC) 2026 dan Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan (MedTechprenuer) 1.0 di sini hari ini.

Menurut Dr. Dzulkefly, MDA juga terus mempamerkan kepimpinan kawal selia yang progresif menerusi pelaksanaan Program Kebergantungan Kawal Selia (Regulatory Reliance) bersama China dan Singapura.

Katanya, menerusi inisiatif itu, peranti yang diluluskan oleh MDA boleh didaftarkan menerusi laluan ringkas di kedua-dua negara dan sebaliknya.

“Langkah ini membuka lembaran baharu kerjasama serantau yang mengurangkan pertindihan serta mempercepatkan akses pasaran merentas sempadan. Selain itu, MDA turut berjaya mempercepatkan proses kelulusan peranti perubatan daripada 30 hari kepada 14 hari bagi Kelas A dan daripada 90 hari kepada 21 hari bagi Kelas B, C dan D,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program MedTechPrenuer 1.0 merupakan antara platform yang akan dapat membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk berkecimpung dalam industri peranti kesihatan .

Ia seterusnya mengisi ruang dalam rantaian nilai global, bukan sekadar sebagai pengeluar, tetapi sebagai pencipta teknologi perubatan masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN