Ikut pesan ustaz, Indah Ruhaila lebih tenang letak batasan di media sosial

Ikut pesan ustaz, Indah Ruhaila lebih tenang letak batasan di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Indah Ruhaila mengakui kehidupannya kini lebih tenang selepas memilih tidak terlalu menonjolkan diri di media sosial.

Menurut Indah atau Siti Ruhailah Hussein, 38, perubahan tersebut diamalkan sejak beberapa tahun lalu selepas membaca nasihat seorang ustaz yang menyarankan agar orang ramai mengurangkan perkongsian di media sosial bagi mengelakkan fitnah.

“Beberapa tahun lalu, saya terbaca satu perkongsian daripada ustaz yang menyarankan supaya kita kurangkan berkongsi di media sosial kalau nak hidup tenang.

“Sejak itu saya mula amalkan dan Alhamdulillah, saya rasa jauh lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di platform Thread.

Bagaimanapun, peserta Akademi Fantasia 2013 itu menegaskan, dia tidak meninggalkan media sosial sepenuhnya, sebaliknya hanya menggunakannya sebagai ruang untuk menyimpan kenangan peribadi.

“Saya kongsi apa yang saya rasa perlu sahaja, lebih kepada ‘memory book’. Tapi biasalah, bila kita jarang muat naik, ada juga yang mula buat spekulasi itu dan ini.

“Hakikatnya, saya hanya mahu orang tahu apa yang saya izinkan sahaja,” ujarnya.

Jelas Indah, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu menjaga ketenangan hati, malah menjadi langkah pencegahan daripada sebarang fitnah yang mudah berleluasa di zaman serba digital ini.

“Zaman sekarang ini zaman fitnah. Jadi saya lebih selesa untuk jaga batas dan fokus pada ketenangan diri.
Saya doakan kita semua sentiasa diberikan ketenangan dalam hidup,” katanya lagi.

Ramai yang bersetuju dengan perkongsian Indah terutamanya peminat yang akan tetap menyokong kerjaya seni penyanyi itu walaupun kurang berkongsi di media sosial.

“Kami akan sentiasa ada untuk Indah,” tulis satu komen.

“Hak awak, kami semua akan hormat serta sokong keputusan yang awak buat. Peminat akan tetap sokong, tulis komen yang lain.

“Ya betul, penyakit ain akan memudaratkan,” kata komen yang lain. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN