IIB perkukuh kebolehpasaran graduan, tingkat kolaborasi

IIB perkukuh kebolehpasaran graduan, tingkat kolaborasi

IDZHAM MOHD. HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Iskandar Investment Berhad (IIB) memperggiatkan berusaha memperkukuhkan kebolehpasaran graduan serta menyediakan laluan kerjaya berpendapatan tinggi menerusi kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd. Hashim berkata, pihaknya melihat potensi bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi melaksanakan inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) dan Rangkaian Pusat Inovasi dan Penyelidikan (RDCI) di bawah Agenda Inovasi Nasional.

“Langkah ini akan memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai peneraju pembangunan digital dan pusat inovasi teknologi di wilayah selatan.

“Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian, IIB turut menyokong pelaksanaan Elaun Cukai Pelaburan Hijau yang diumumkan kerajaan (dalam Belanjawan 2026).

“Ini seiring dengan aspirasi IIB untuk menggalakkan pelaburan rendah karbon, penggunaan tenaga cekap serta pembangunan bandar pintar mesra alam di Iskandar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, IIB juga menyokong inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pembangunan kemudahan penginapan pelajar bersama-sama Universiti Malaya (UM) yang memperkukuhkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malah, usaha itu untuk memperluaskan pasaran sewaan serta menyediakan kemudahan perumahan mampu milik untuk pelajar dan golongan muda.

Beliau turut memuji inisiatif kerajaan dalam belanjawan itu yang memperkenalkan program pembeli rumah pertama berharga kurang RM500,000 yang secara langsung menyokong pembangunan Wawari West Park Homes dalam menyediakan penyelesaian kediaman mampu milik di Iskandar Puteri.

“Selaras dengan Tekad Tiga Belanjawan 2026 – Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi, IIB berhasrat memposisikan dirinya sebagai ‘Southern Engine for National Rejuvenation’, memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, memperkukuhkan jaringan pelaburan rentas sempadan dan menyumbang terhadap kemakmuran negara secara menyeluruh.

“Belanjawan 2026 mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuhkan daya saing ekonomi negara menerusi pendekatan yang seimbang antara pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan.

“Sebagai pemaju utama di Iskandar Puteri, IIB komited untuk terus menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), memperkukuhkan ekosistem bakat melalui inisiatif seperti JTDC dan KYouth, serta memajukan agenda inovasi dan pelaburan hijau di rantau selatan,” katanya.

Sebagai salah sebuah peneraju utama pembangunan wilayah Iskandar Puteri, IIB komited untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi Belanjawan 2026 menerusi strategi yang memacu pertumbuhan ekonomi serantau, memperkukuh ekosistem bakat serta memperluaskan pelaburan hijau dan inovasi digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN