Hubungan akar umbi PH-BN tidak begitu akrab - Utusan Malaysia

Hubungan akar umbi PH-BN tidak begitu akrab

AMINUDDIN Md. Hanafiah (kiri) menyerahkan sumbangan Deepavali kepada tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Hari Deepavali 2025 IPF Bahagian Tambun di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keakraban antara pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak semestinya mencerminkan hubungan erat sesama ahli akar umbi kedua-dua parti.

Pengerusi BN Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, ahli akar umbi bagaimanapun cuba bekerjasama bagi memastikan kerajaan Madani yang terbentuk tidak gagal di pertengahan penggal.

“Yang ini kita kena jujur. Hubungan di peringkat atas nampak lebih selesa dan lebih lancar.

“Di peringkat akar umbi pula, kita berada dalam kerajaan campuran. Sekiranya ada program-program yang melibatkan kerajaan Madani, kita (BN) akan menghantar wakil dan kita menyertai sekadar mana jemputan yang dibuat kepada kita.

“Untuk menyatakan hubungan itu akrab sangat pun tidak,” katanya semasa Majlis Sambutan Hari Deepavali 2025 Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) Bahagian Tambun di sini hari ini.

BN dan PH membentuk kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat dan beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu setelah menyaksikan tiada parti yang menang majoriti kerusi Dewan Rakyat.

Aminuddin kalah dalam saingan empat penjuru di Parlimen Tambun kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semasa PRU-15.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Perak berkata, masih ada ruang untuk membaiki hubungan akar umbi antara parti komponen BN dan PH.

“Kita akur. Kepimpinan parti sudah buat keputusan, maka sebagai parti yang berada di dalam kerajaan campuran, kerajaan Perpaduan dan kerajaan Madani ini, kita kena memberi sumbangan kita kepada kerajaan ini.

“Dalam erti kata, cuba untuk memberi kefahaman bahawa kerajaan ini perlu disokong. Ada ruang untuk diperbaiki menjelang PRU-16, cumanya memerlukan komitmen daripada semua parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN