Hidang arak: MOTAC ambil iktibar, pastikan tidak berulang

Hidang arak: MOTAC ambil iktibar, pastikan tidak berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil iktibar daripada kejadian menghidangkan minuman arak pada acara rasmi kerajaan dan memastikan perkara seumpama ini tidak akan berulang.

MOTAC dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini.

“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

“MOTAC juga akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan dan etika yang telah ditetapkan,” katanya hari ini.

Pada masa sama, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.

Segala kesulitan yang timbul amat dikesali.

“MOTAC akan terus memperkukuh serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, majlis makan malam sempena pelancaran Global Travel Meet, baru-baru ini yang melibatkan hidangan arak dianjurkan oleh pihak swasta.

Menurutnya, memang pada awal kementeriannya merupakan penganjur utama majlis tersebut tetapi ada pihak swasta yang kemudiannya menyatakan hasrat untuk mengambil alih penganjurannya.

Beliau menjawab sindiran bekas menteri, Khairy Jamaluddin terhadap dirinya berhubung hidangan minuman alkohol dalam majlis itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengkritik acara itu dan menyifatkan penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebagai agama Persekutuan walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN