SEPANG: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan agar segala penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat selepas ini perlu dibuat menerusi jalan darat.
Menurutnya, usaha itu boleh dilakukan susulan perkembangan terbaharu mengenai kesediaan Hamas menerima syarat gencatan senjata atau pelan damai yang dibawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Bersetujunya Hamas dengan bersyarat 20 perkara tersebut, maka perkara yang paling utama kita nak di Gaza ini adalah menghentikan pengeboman dan menyegerakan bantuan.
“Ini pandangan peribadi saya bahawa apa juga nak kita lakukan (membawa bekalan bantuan) selepas ini elok daripada pintu Rafah, Mesir dan juga pintu King Hussein di Jordan.
“Keutamaan kita ialah membantu rakyat Palestin. Tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis sudah mencukupi.
“Misi Global Sumud Flotilla (GSF) sendiri telah membuktikan solidariti dunia apabila lebih 40 negara menyertai misi ini malah ada negara menghantar kapal perang mereka. Itu tanda sokongan yang sangat kuat terhadap perjuangan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas melawat Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, hari ini.
Katanya, jika pintu Rafah dan King Hussein dibuka selepas ini, penghantaran bantuan kemanusiaan akan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.
Mohamad berkata, Malaysia telah bersedia untuk menyelaras misi bantuan berkenaan jika ia dibuka kelak.
“Badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang ingin membantu disaran membuat persediaan awal dan berkoordinasi dengan Wisma Putra supaya urusan dengan pihak berkuasa di Jordan dan Mesir dapat dipermudahkan,” katanya.
Katanya, pendekatan menggunakan laluan darat lebih berkesan berbanding penghantaran melalui laut memandangkan misi flotilla sebelum ini berdepan pelbagai kekangan dan halangan.
Jelasnya lagi, jika pintu darat dapat dibuka, insya-Allah penghantaran bantuan ke Gaza dan Tebing Barat akan lebih tersusun dan selamat.
habis.