PETALING JAYA: “Saya bersyukur kerana dikurniakan pekerja yang hebat dan setia. Pada saya, memiliki mereka adalah hadiah hari jadi yang paling besar,”
Demikian ucapan dari usahawan terkenal, Khairul Aming yang tidak pernah gagal mencuri perhatian warganet, bersempena ulang tahunnya yang ke-33 baru-baru ini.
Dalam perkongsian terbaru di laman sosial, KA atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkongsi kesemua staf dibawa ke percutian selama lima hari di ibu negara dari Kelantan menaiki dua buah bas.
Malah, setiap seorang ditempatkan di bilik suite mewah yang membuatkan rata-rata daripada mereka terharu dan tidak menyangka menerima layanan sebegitu
“Setiap kali ada company trip, pekerja tidak perlu keluar sesen pun. Saya akan sediakan duit poket untuk mereka belanjakan sepanjang lima hari ini, sama ada untuk membeli belah atau apa sahaja. Kita mahu semua pekerja seronok tanpa rasa terbeban,” katanya.
Lebih menarik, antara aktiviti yang disusun sepanjang percutian termasuklah pengalaman makan malam istimewa dengan A5 wagyu serta aktiviti membeli-belah di TRX, Bukit Bintang dan Central Market.
Menyedari kebanyakan pekerjanya masih muda dan sukakan aktiviti luar, Khairul Aming turut melayan kerenah mereka dengan pelbagai ragam.
“Hari ini memang hari untuk raikan pekerja. Saya pun tidak sempat mandi manda sebab sibuk nak merakamkan momen mereka menjerit keseronokan. Kalau masa rendang hangus tidak ada pula nak menjerit,” selorohnya.
Khairulaming turut menekankan semua kos percutian ditanggung penuh syarikat, termasuk pengangkutan, makanan, serta perbelanjaan harian pekerja.
“Nak pergi ke mana-mana, naik sahaja Grab, nanti tinggal ‘claim’. Kita mahu mereka nikmati sepenuhnya tanpa risau soal duit,” katanya.
Menjadikan percutian kali ini lebih bermakna,KA beranggapan ini adalah hadiah buat dirinya kerana mempunyai pekerja yang bertungkus lumus dan setia bersamanya sehingga kini.-UTUSAN