GSF bukan sekadar misi kemanusiaan, tapi tanggungjawab hentikan penindasan di Gaza

GSF bukan sekadar misi kemanusiaan, tapi tanggungjawab hentikan penindasan di Gaza

Dr. Sani Araby Abdul Alim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sekadar misi kemanusiaan semata-mata sebaliknya ia tanggungjawab yang tidak boleh dielakkan untuk menghentikan penindasan terhadap penduduk Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengambil risiko memperjuangkan saudara-saudara kita di Gaza.

Beliau berkata, penduduk Gaza sejak sekian lama telah menanggung kezaliman, berdepan kebuluran dan penindasan.

“Justeru, ia satu tanggungjawab yang tidak boleh dielakkan. Risiko ini adalah risiko yang wajar diambil. Semua delegasi telah pun menjalani bengkel dan latihan, mereka maklum bahawa risiko seperti ini pasti akan dihadapi.

“Oleh itu, video yang dikeluarkan sebagai isyarat SOS itu sebenarnya adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Katanya, apa pun risikonya, pihaknya tetap mengambilnya dengan penuh tanggungjawab dan seluruh rakyat Malaysia turut mengambil risiko moral dan emosi dalam menyokong perjuangan membebaskan Gaza.

Beliau mengulas perkara itu susulan kritikan dilemparkan segelintir pihak yang mengecam misi GSF itu biarpun risikonya telah dijangka lebih awal.

Sani Araby berkata, misi GSF ini bukan sahaja bersifat kemanusiaan, tetapi juga memasuki fasa perang naratif.

“Kita tidak kalah dalam hal ini, malah kita berjaya mengawal naratif bahawa rakyat Malaysia benar-benar menyokong pembebasan Gaza.

“Jika kita lihat di media sosial, sentimen yang ditunjukkan amat jelas bahawa majoriti rakyat berdiri teguh bersama perjuangan Palestin,” katanya.

Katanya, insya-Allah dalam masa terdekat, misi ini akan bergerak ke fasa rundingan namun, pada masa sama tidak lari daripada objektif utama.

Jelasnya lagi, pihaknya mahu terus mendesak dunia untuk menghentikan perang di Gaza, mengakhiri kebuluran dan seterusnya membuka koridor kemanusiaan bagi bantuan segera.

“Misi ini belum berakhir walaupun mereka ditahan, delegasi rela berkorban agar kita di tanah air dapat meneruskan perjuangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN