PETALING JAYA: Gerakan yang kini mendesak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada kepimpinan parti dipercayai adalah kumpulan sama yang pernah mendesak beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2021.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mendedahkan gerakan itu kini mencapai kemuncaknya apabila usaha-usaha mematahkannya tidak lagi berjaya.
Katanya, gerakan berkenaan turut didalangi oleh pihak tertentu yang sedang mencipta dan cuba mengangkat seseorang untuk menerajui kepimpinan parti.
“Saya tahu siapa mereka. Gerakan ini bukan baharu, malah sudah mula dikesan sebelum Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2021 hasil tekanan daripada kelompok yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau yang juga antara pengasas parti itu berkata, wujud kelompok dalam parti yang disifatkannya sebagai ‘rakus kuasa’ dan tidak sabar menunggu giliran, meskipun Muhyiddin menyatakan hasrat tidak lagi memegang jawatan selepas penggal ini.
“Memandangkan pilihan raya semakin hampir dan melihat sentimen terhadap Muhyiddin kononnya seperti kerajaan menunggu, mereka ini tidak sabar,” katanya.
Tambahnya, jika benar wujud keinginan menukar kepimpinan parti, ia sepatutnya dilakukan mengikut saluran sah seperti mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dibenarkan dalam perlembagaan parti.
“Dalam Perlembagaan jelas benarkan jika 50 peratus bahagian menyokong usul. Jangan buat secara ‘sniping’ atau desak-desak, itu tidak profesional,” katanya.
Jelasnya lagi, sikap segelintir ahli yang cuba menekan kepimpinan parti secara tidak sah hanya akan mengundang ketidakstabilan dan perpecahan dalam Bersatu.
Semalam, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah meminta Muhyiddin untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Katanya, kepimpinan baharu diperlukan bagi memperkukuh semula parti dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Bersatu.
Tambahnya, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga perlu digugurkan daripada jawatan tersebut bagi membersihkan parti daripada isu moral yang menjejaskan reputasi parti. – UTUSAN










