KUALA LUMPUR: Perjanjian gencatan senjata yang bakal dimeterai antara Thailand dan Kemboja menjadi titik tolak penting ke arah memastikan keamanan serta kestabilan berkekalan khususnya di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, intipati utama perjanjian tersebut menekankan pelaksanaan penuh gencatan senjata termasuk keperluan bagi kedua-dua negara menarik balik senjata berat dari kawasan sempadan masing-masing.
Katanya, langkah itu perlu disusuli dengan usaha melupuskan bahan letupan lama bagi mengelak insiden yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
“Kedua-dua negara perlu berusaha membersihkan kawasan sempadan daripada periuk api atau bahan letupan yang masih tertanam.
“Inilah antara sebab utama mengapa perjanjian gencatan senjata ini amat penting dan kami berharap ia dapat bertahan lama,” katanya ketika sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di sini hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia juga menggesa agar Thailand dan Kemboja terus duduk semeja bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap isu sempadan yang berlarutan sekian lama.
“Pada masa sama, Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip dan piagam ASEAN yang menolak sebarang bentuk campur tangan dalam urusan dalaman atau pertikaian antara negara anggota.
“Kita menghormati sepenuhnya prinsip ASEAN. Setiap pertikaian antara negara anggota perlu diselesaikan melalui dialog dan saluran diplomatik tanpa melibatkan campur tangan pihak luar,” katanya.-UTUSAN










