SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) akan mengumukan gelombang kedua misi kemanusiaan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 8 malam ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi gelombang kedua itu akan bernaung di bawah payung Sumud Nusantara.
“Kita akan umumkan gelombang kedua dan bagaimana kalian semua boleh memainkan peranan sehingga Palestin merdeka,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut ketibaan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) di sini, malam tadi.
Katanya, pihaknya mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya terus berjuang dengan kesatuan hati bagi memastikan pembebasan rakyat Palestin.
Sani Araby berkata, misi GSF telah mencetuskan gelombang dari Malaysia hingga ke peringkat dunia.
“Tekadkan hati, kuatkan semangat, dan jangan berhenti di sini. Ingat betul-betul, hari ini cukup untuk kita berkata ‘enough is enough’.
“Hari ini kita pulang dengan membawa satu mesej yang sangat kuat bahawa kita memiliki resepi tersendiri, iaitu kesatuan hati.
“Hari ini, sekali lagi, Sumud itu adalah kita. Nusantara itu adalah kita. Kebangkitan itu adalah kita. Kita tidak akan tidur. Kita tidak akan alpa. Selagi mana Malaysia tidak berdiri di hadapan untuk mempertahankan Gaza,” katanya.
Katanya, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak berganding bahu meraikan ketibaan aktivis GSF ini.
“Daripada pihak polis, pegawai imigresen, pejuang media, guru-guru sekolah, sahabat media, artis, menteri dan imam semuanya berganding bahu menjayakan usaha ini.
“Kesatuan pelbagai pihak itu membuktikan bahawa Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri, berjuang dengan semangat dan kesatuan hati yang menjadi kekuatan utama dalam menggerakkan solidariti terhadap Gaza,” katanya. – UTUSAN