Garis panduan larang guna telefon pintar di sekolah dikeluar dalam masa terdekat

Garis panduan larang guna telefon pintar di sekolah dikeluar dalam masa terdekat

Garis panduan larang guna telefon pintar di sekolah dikeluar dalam masa terdekat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan garis panduan berhubung larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid bawah umur 16 tahun.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ia susulan cadangan pelaksanaan langkah-langkah segera untuk meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan.

“KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini yang menggariskan langkah-langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan.

“Ini termasuk usaha untuk meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan,” katanya hari ini.

Pada masa sama, KPM turut menyokong hasrat kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja dari ancaman siber.

Katanya, mekanisme untuk pelaksanaannya akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Semua institusi pendidikan bawah KPM juga dituntut untuk memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan institusi dapat ditingkatkan.

“Kerjasama rentas kementerian dan agensi adalah cerminan usaha berterusan Kerajaan Madani untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN