PETALING JAYA: Semua perkhidmatan rel Rapid KL beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan susulan gangguan bekalan elektrik yang dilaporkan di beberapa kawasan di Lembah Klang, petang ini.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan, setakat pukul 5 petang, semua laluan rel termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel beroperasi seperti biasa.
“Berikutan gangguan bekalan elektrik di beberapa lokasi di Lembah Klang, Rapid KL ingin mengesahkan bahawa setakat jam 5.00 petang, semua perkhidmatan rel tidak mengalami sebarang gangguan dan beroperasi seperti biasa.
“Sila ikuti media sosial Rapid KL untuk mendapatkan status terkini mengenai perkhidmatan Rapid KL,” katanya.
Terdahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, pasukan teknikalnya sedang menjalankan kerja pembaikan susulan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan sebahagian pengguna di sekitar kawasan Kepong, di ibu kota. – UTUSAN