Gagal mendukung watak gagalkan tarik orang muda minat teater

Gagal mendukung watak rencatkan usaha tarik orang muda minat teater

TEATER Lembing Awang Pulang ke Dayang menjadi medan bakat muda asah bakat lakonan pelajar Universiti Putra Malaysia dalam seni persembahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam drama teater  As You Like IT karya William Shakespeare yang diterbitkan pada 1599, beliau ada menyebut – All the world’s a stage, and all the men and women merely players.”

Maksudnya seluruh dunia ini ibarat pentas teater, dan manusia hanya pelakon yang memainkan peranan masing-masing dalam perjalanan hidup.

Adakah ini bermakna teater hanyalah drama pementasan yang tidak bermakna iaitu setakat melakon semula cerita kehidupan manusia?

Di pentas teater, peranan pendukung watak amat besar bagi menghidupkan jalan cerita.

Teater bukan sekadar hiburan, tetapi penghantaran cerita dan aksi pendukung watak di pentas sebenarnya. dan satu seni persembahan pentas yang memberi inspirasi yang wajar dinikmat jika dihayati dengan betul.

Menyaksikan lakonan di pentas persembahan secara langsung agak berbeza dengan melihat menerusi layar kaca kerana watak dan dialog yang dilontar terus di hadapan penonton.

Meskipun begitu pelakon watak teater muda berpendapat apa pun watak diberikan, naskhah teater sesungguhnya mempunyai cabaran unik tetapi tanggung jawabnya besar bagi menyempurnakan jalan cerita supaya disukai penonton.

Menyaksikan teater Lembing Awang Pulang Ke Dayang baru-baru ini amat teruja melihat kesungguhan pendukung watak terdiri daripada kalangan penuntut tahun 1 Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beberapa pelakon utamanya yang ditemui mengakui meskipun berdebar membawa watak kerana sebahagian besar baru pertama kali berlakon tetapi kepuasan jelas terpancar pada wajah mereka.

Pendukung watak utama Muhammad Tholhah Muhammad Rashid yang membawa watak Awang mengakui penglibatannya dalam seni pementasan teater sebelum ini hanya di peringkat kelab sekolah.

Dia yang merupakan pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi UPM mengakui cabaran terbesar adalah meyakinkan diri untuk membawa watak Awang dalam teater berkenaan sebab perasaan ragu ragu masih ada bagi membezakan cabaran peringkat sekolah dan universiti.

“Masa berlakon (teater) sebelum ini, mendapat bimbingan guru dan kini sebagai pelakon utama ada rasa kurang yakin di peringkat awal.

“Namun hasil bimbingan Tukang Shakrani (Shamsuddin) sejak mula uji bakat dan selepas bengkel diadakan saya rasa dapat mengasah bakat.

“Memang rasa seronok dan puas sebab jalan cerita pendek dan babak tidak panjang,” ujarnya.

Seorang lagi pelakon Sufea Aishah Ab Halim yang memegang watak Dayang atau heroin mengakui teater berkenaan merupakan penglibatan yang kedua selepas terbabit pementasan teater Pelanduk Terakhir.

 

“Sebagai permulaan saya anggap watak ini berat sebab perawatakan saya agak kontra dengan watak Dayang yang lemah lembut,” ujarnya.

Meski pun baharu terlibat dalam pementasan teater sebagai pelakon Sufea Aishah dapat belajar bagaimana menjadi seorang pelakon antaranya penghayatan skrip yang jitu memudahkan pembawaan watak dihayati.

“Penghayatan watak bukan sekadar baca dialog,” katanya yang mengakui penggunaan dailog bahasa Melayu lama juga menjadi cabaran kepadanya.

Menurut Sufea Aishah lagi, penghayatan watak dalam teater menjadi cabaran besar bagi pelakon muda sepertinya sebab peranan tersebut boleh membawa penonton menghayati jalan cerita.

Sementara itu, Muhammad Haikal Hamlee yang mendukung watak Bachok mengakui memang satu cabaran besar baginya meskipun pernah berlakon dalam pementasan seni berskala kecil.

“Ini pengalaman kali kedua saya berlakon tetapi penonton sebelum ini tidak seramai berbanding sebelum ini,” ujarnya yang juga terpaksa melalui sesi uji bakat di bawah kendalian Sakrani .

Namun bagi Muhammad Haikal, tiga bulan sesi latihan sebelum sesi pementasan sebenar banyak memberinya panduan dalam membawa watak yang diberikan.

“Saya akan cuba lagi jika diberi peluang kerana (sudah) rasa seronok,” ujarnya yang mengambil Pengajian Kesusasteraan Melayu Moden selama tiga tahun di fakulti berkenaan.

Muhamad Haikal mengakui seni persembahan teater bukan sahaja dianggap suatu yang menghiburkan tetapi mampu membawa mesej positif dalam masyarakat.

Sementara itu, Sakrani yang juga Presiden Persatuan Teater Malaysia berharap golongan muda yang ingin berkecimpung dalam seni persembahan supaya menjadikan latihan sebagai satu komitmen utama mengasah bakat lakonan mereka.

“ Latihan, komitmen serta disiplin perlu diterapkan dalam diri mereka,” ujarnya sambil memberitahu bukan mudah membentuk gaya lakonan terutama mereka yang baru berjinak jinak dalam seni persembahan.

Semua mereka ditemui semasa program Malam Tradisi Sastera Rakyat ke-41 MTSR 41 anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Abang Julai.

Abang Haliman berkata, malam tersebut bukan sekadar pementasan seni, melainkan suatu mahakarya yang mengukir detik bersejarah bagi menjaga denyut nadi sastera rakyat agar terus berdegup kencang dalam sanubari generasi muda.

“Kita disatukan oleh semangat yang sama, iaitu semangat kecintaan terhadap bahasa, budaya, dan warisan bangsa yang abadi,” ujarnya.

Persembahan teater itu adalah antara pengisian malam itu yang pendukung wataknya kebanyakan dipegang oleh pelajar yang mengambil kursus Kesusasteraan Melayu Moden di fakulti berkenaan.

Persembahan teater berkenaan diarahkan oleh Tukang Sakrani Shamsuddin manakala skripnya ditulis oleh Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN