Gabungan 16 NGO serah memorandum, sokong PM bela rakyat Palestin

Gabungan 16 NGO serah memorandum, sokong PM bela rakyat Palestin

ANWAR Ibrahim menerima memorandum daripada Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkaitan menyokong pertemuan Trump - Anwar selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Quddus, Presint 16, Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha Perdana Menteri membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa membela rakyat Palestin mendapat sokongan penuh gabungan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui serahan memorandum kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memorandum itu diserahkan sebagai simbolik menyokong kepimpinan Perdana Menteri terutama pertemuan rasmi dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada hujung minggu ini.

Memorandum itu diserahkan sendiri wakil gabungan NGO berkenaan iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin kepada Perdana Menteri selepas solat Jumaat di Surau Al-Quddus, Presint 16, di sini hari ini.

Antara NGO berkenaan termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya menyeru agar Malaysia menyampaikan dengan jelas suara rakyat yang menolak dasar luar Amerika Syarikat yang terus menyokong pendudukan haram Israel.

“Malaysia wajar menegaskan keperluan reformasi terhadap sistem antarabangsa yang tidak adil, termasuk kuasa veto yang sering disalah gunakan untuk menutup jenayah kemanusiaan,” katanya.

Katanya, pihaknya menaruh keyakinan bahawa kunjungan dan pertemuan rasmi antara Anwar dan Trump akan menjadi medan penting untuk memperkukuh hubungan Malaysia–Amerika Syarikat atas dasar saling menghormati dan nilai kemanusiaan sejagat.

Jelasnya lagi, pihaknya berharap Malaysia terus berperanan sebagai suara nurani dunia; negara yang berani bersuara demi keamanan, keadilan, dan maruah insan, sejajar dengan semangat Malaysia Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN