PUTRAJAYA: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan menyeluruh terhadap keputusan kerajaan negeri terdahulu yang dikatakan menyebabkan kerugian RM315.2 juta wang rakyat akibat penamatan kontrak enam syarikat konsesi air pada 2018.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, keputusan dibuat ketika pentadbiran Datuk Seri Shafie Apdal itu bukan sahaja membawa beban kewangan besar kepada kerajaan negeri, malah sebahagian besar kawasan di Sabah masih berdepan masalah bekalan air bersih hingga kini.
Beliau berkata, surat rasmi telah diserahkan kepada pihak SPRM hari ini bagi memohon suruhanjaya itu meneliti dan menilai secara telus selain memastikan tidak berlaku unsur salah guna kuasa atau penyelewengan dalam proses penamatan kontrak terbabit.
“Kami tidak datang untuk membuat laporan politik, tetapi menuntut supaya kebenaran ditegakkan. Jika benar keputusan itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan ratusan juta ringgit, rakyat berhak tahu siapa yang bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.
Katanya, pampasan berjumlah RM315.2 juta yang dibayar kepada enam syarikat konsesi air itu adalah wang rakyat Sabah yang sepatutnya digunakan bagi tujuan pembangunan asas seperti pembinaan sekolah, pembaikan jalan dan penyediaan kemudahan air bersih.
Menurutnya, selepas penamatan kontrak itu, kerajaan negeri ketika itu melantik pula beberapa syarikat baharu yang dikatakan tiada pengalaman teknikal mencukupi, malah ada yang dikaitkan dengan pimpinan parti politik tertentu.
“Jika benar dakwaan ini, ia bukan sekadar kecuaian pentadbiran, tetapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat,” katanya.
Katanya, G57 akan menunggu maklum balas rasmi daripada pihak berkuasa dan kerajaan negeri berhubung isu berkenaan sebelum mempertimbang langkah susulan termasuk tindakan undang-undang sivil sekiranya tiada penjelasan memuaskan diberikan.
Jelasnya lagi, perjuangan ini bukan untuk membalas dendam, tetapi menuntut keadilan dan memulihkan maruah rakyat Sabah.
“Kami mahu setiap sen wang rakyat dikembalikan kepada mereka yang berhak,” katanya.










