SERDANG: Gelombang ketiga misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dijangka masuk ke zon merah pada pukul 5 pagi waktu Malaysia, esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, semua Sembilan kapal sudah bergerak pada kelajuan 4.00 knot dan memasuki zon kuning pada jarak 200 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.
“Kapal Conscience mula bergerak pada pukul 9.30 pagi tadi waktu Malaysia, dan lapan kapal yang lain bergerak pada 1 pagi.
“Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali melaporkan kesemua delegasi kapal telah sebulat suara untuk bertemu dalam satu garis masa pada sekitar jarak 150 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.
“Semua mereka sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berhadapan dengan penahanan rejim Zionis Israel,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MyCARE di sini, hari ini.
Beliau berkata, mengikut perkiraan dalam tempoh 48 jam yang akan datang adalah waktu sangat kritikal kerana kebiasaannya tentera Israel akan membuat pintasan terhadap peserta misi.
“Kita minta doa, minta diberi kekuatan kepada mereka (yang berada di atas) kapal dan Insya-Allah kalau Allah izin mereka dapat mendarat di Gaza,” katanya.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG untuk memecah kepungan di Gaza membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
Seramai lapan rakyat Malaysia kini sedang belayar di atas Kapal Conscience dengan seorang lagi berada di atas Kapal Umm Saad.
Lapan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada Ketua Misi, Mohd Alauddin; Dr. Fauziah Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Kapal Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu. Secara keseluruhan misi ini membabitkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia.-UTUSAN