Festival Seni Selat Melaka acara skala besar berimpak tinggi - Utusan Malaysia

Festival Seni Selat Melaka acara skala besar berimpak tinggi

AB. Rauf Yusoh (tengah) melakukan gimik perasmian sempena Festival Seni Selat Melaka di Dataran Pengkalan Rama, Melaka. – UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka akan dijadikan acara tahunan berskala lebih besar serta berimpak tinggi dalam usaha memperkukuh pelancongan budaya negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia (VM) 2026.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia selari dengan aspirasi menjadikan Melaka sebagai peneraju pelancongan budaya dan warisan yang unggul di peringkat serantau.

“Kerajaan negeri komited memastikan Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka diangkat sebagai acara tahunan berskala lebih besar dan berimpak tinggi.

“Kita mahu festival ini kekal menjadi pentas pemerkasaan pelancongan budaya yang men­cerminkan identiti Melaka sebagai pusat peradaban Melayu yang ulung di dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, penganjuran festival kali ini membuktikan kekuatan kolaborasi strategik apabila lebih 30 acara budaya, warisan, sukan rakyat dan kerohanian berjaya menarik kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

Ab. Rauf berkata, momentum pelancongan Melaka terus memberangsangkan apabila me­rekodkan 13.5 juta pelancong setakat September tahun ini, meningkat 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan hasil perbelanjaan pelancong mencecah RM14.42 bilion.

“Konsep ‘Pay Less, See More’ akan memperkasa pengalaman pelancong, bayar satu harga tetapi menikmati pelbagai produk pelancongan utama Melaka.

“Ini bukan sekadar strategi promosi, tetapi model pelancongan mampan yang menguntungkan ekonomi rakyat, komuniti setempat dan warisan negeri untuk jangka panjang,” katanya.

Ab. Rauf turut mengumumkan Jambatan Pengkalan Rama yang bakal dinamakan semula sebagai Jambatan Dang Merdu Wati sempena nama ibu Hang Tuah yang akan dirasmikan pada Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN