KUALA LUMPUR: Pusingan separuh akhir All Star Championship 2025 baru-baru ini menyaksikan pertarungan sengit dan penuh kejutan apabila beberapa peserta berjaya menewaskan lawan masing-masing dalam aksi tinju yang mencuri perhatian ramai.
Penganjur All Star Championship, Datuk Abdul Rahman Soltan, berkata kejohanan edisi kali ini membuktikan bahawa peserta bukan sahaja berani mencabar diri, malah menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dalam mempersiapkan diri menghadapi gelanggang sebenar.
“Saya bangga dengan semangat dan disiplin semua peserta. Walaupun ada yang dikecam kononnya bertinju secara main-main, mereka sebenarnya menjalani latihan intensif dan memperlihatkan komitmen luar biasa di gelanggang.
“Secara keseluruhan, penganjuran separuh akhir berjalan lancar dan sambutan penonton amat luar biasa. Ini membuktikan bahawa All Star Championship kini menjadi fenomena baharu dalam sukan tempur moden,” katanya ketika ditemui selepas acara tersebut.
Dalam pusingan semi-final itu, aktor, Fareez Fauzi, mara ke pentas akhir selepas menumbangkan lawannya, Koroy sementara pelakon, Shahidan Izwan tersingkir selepas tunduk kepada peserta, Sonic.
Sementara itu, hasrat pempengaruh, Imranul Effendy, untuk bertemu adiknya, Izzlan, di pentas akhir bagaimanapun tidak kesampaian apabila Izzlan tewas kepada Amir Harris, sekali gus menutup peluang pertembungan adik-beradik yang dinanti ramai.
Turut mencuri perhatian ialah penyanyi, Fariq McFly yang terpaksa melupakan impian memburu kemenangan apabila tewas kepada peserta underdog, Oyot.
Tambah Abdul Rahman, kejohanan itu turut menggabungkan unsur sukan dan digital selaras dengan usaha mempromosikan pelancongan domestik melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sebanyak tiga kejuaraan utama akan menjadi rebutan dalam pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada 18 Oktober depan di Arena Sukan Kuala Lumpur, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM270,000 menanti pemenang.
“Kami harap pusingan akhir nanti akan menjadi kemuncak paling sengit dan bersejarah, memperlihatkan kehebatan enam peserta terbaik yang kini bersedia merebut gelaran juara All Star Championship 2025,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon berpengalaman Fauzi Nawawi, yang turut hadir sebagai penonton dan bapa kepada salah seorang peserta, menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform sukan baharu yang berjaya menggabungkan dunia hiburan dengan arena sukan secara positif.
“Kita perlu melihat perkara ini dengan sudut pandang positif kerana ia mampu melonjakkan nama sukan tinju tempatan ke tahap lebih tinggi melalui penglibatan selebriti yang mempunyai pengaruh besar. Mereka berlatih secara profesional dan mempersembahkan pertarungan yang sangat mengujakan.
“Malah, kita patut puji kesungguhan penganjur menyediakan gelanggang profesional dan memberi pengalaman sebenar kepada peserta yang sebelum ini mungkin hanya meminati sukan tinju dari jauh,” katanya.
Beliau menambah, populariti tinju dalam kalangan anak muda semakin meningkat dan kejohanan seperti All Star Championship berpotensi menjadi platform yang sihat bagi mencorak budaya sukan yang lebih positif.-UTUSAN