BUTTERWORTH : Empat suspek ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dalam bagasi yang dijumpai di belakang sebuah pangsapuri di Ampang Jajar di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, penahanan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di Butterworth di sini dan Kampar, Perak.
Beliau berkata, mereka yang ditahan merupakan warga tempatan yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 42 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan polis dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada 9 Oktober lalu, media melaporkan, seorang ejen insurans, Lee Boon Han, 31 dijumpai mati dibunuh dalam keadaan leher dikelar dan tangan diikat, selain kepalanya diserkup dengan plastik dalam sebuah bagasi.
Bagasi itu ditemukan oleh pekerja pembersihan saluran di belakang pangsapuri terbabit kira-kira pukul 1.40 tengah hari sebelum melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis.-UTUSAN