Empat atlet muda ekuestrian galas tugas harumkan nama Malaysia - Utusan Malaysia

Empat atlet muda ekuestrian galas tugas harumkan nama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat atlet muda wanita negara bakal menggalas cabaran negara dalam acara ekuestrian pada temasya 3rd Asian Youth Games (AYG) 2025 yang akan berlangsung di Manama, Bahrain bermula esok.

Temasya AYG 2025 yang menghimpunkan lebih 4,300 atlet muda dari 45 negara Asia, melibatkan 21 jenis sukan termasuk ekuestrian merupakan edisi ketiga selepas penganjuran di Singapura pada 2009 dan Nanjing, China pada 2013, di bawah anjuran Majlis Olimpik Asia (OCA).

Menurut salah seorang atlet, Sharifah Ariel Budriah, 15, latihan intensif turut dijalankan di Arab Saudi bagi membiasakan diri dengan kuda yang bakal digunakan di Bahrain.

“Saya bersama rakan atlet lain, Arissa Audreyna Edzwan, 17, Sonia ‘Aisyah Abdullah, 15, dan Elly Poh Jia Yi, 16, bakal bersaing dalam kategori Show Jumping di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, Shaiful Azwan.

“Saya menjalani latihan di Belanda sebelum ini dan banyak belajar tentang teknik tunggangan serta cara menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis kuda yang berbeza. Di Arab Saudi nanti, kami akan melakukan sesi warm up bersama kuda yang bakal digunakan di Bahrain.

“Saya bersama Arissa, Sonia dan Elly berlatih keras demi memberi yang terbaik untuk Malaysia. Kami harap rakyat mendoakan kejayaan kami,” ujarnya.

Bagi Arissa Audreyna, yang pernah mewakili negara sebelum ini, penyertaan di Bahrain menjadi peluang untuk menonjolkan hasil latihan intensif di Belgium selama sebulan.

“Latihan di sana mencabar kerana setiap kuda ada karakter tersendiri. Saya perlu mencari keserasian dan kekuatan mental amat penting bagi mengawal rasa takut,” katanya.

Sementara itu, peserta termuda dalam pasukan, Sonia ‘Aisyah, menganggap peluang itu sebagai pencapaian bersejarah buat dirinya.

“Ini kali pertama saya mewakili negara di peringkat antarabangsa. Latihan di Belanda banyak memberi keyakinan dan pengalaman berharga menunggang kuda berkaliber tinggi,” katanya yang kini menjalani persiapan terakhir di Riyadh, Arab Saudi.

Elly Poh pula menekankan pentingnya memahami perangai kuda pinjaman yang akan digunakan ketika pertandingan nanti.

“Aspek keselamatan amat penting. Saya berharap kuda yang ditunggang nanti sesuai dengan gaya saya dan mampu membantu pasukan memberi saingan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih, Shaiful Azwan yakin keempat-empat anak didiknya cukup bersedia untuk aksi pertama pada 23 Oktober ini.

“Mereka berlatih tanpa henti di dalam dan luar negara. Latihan kali ini lebih fokus kepada penyesuaian pantas terhadap kuda baharu serta kawalan emosi ketika bertanding,” ujarnya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Justin Yap berkata dia memastikan segala urusan logistik dan penyertaan pasukan berjalan lancar, termasuk kepatuhan terhadap peraturan Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN