PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) memeterai dua Memorandum Persefahaman (MOU) bersama bank Jepun dalam usaha menarik pelaburan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara itu ke Negeri Sembilan.
MoU dengan The Musashino Bank, Ltd. (Musashino Bank) dan Bugin Regional Economic Research Institute Co., Ltd. (Bugin Institute) itu ditandatangani sempena EXPO 2025 Osaka dan disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Di bawah MOU itu, EcoWorld akan bekerjasama dengan Musashino Bank untuk memanfaatkan rangkaian kewangan kukuh serta hubungan lama bank tersebut dengan pengusaha industri PKS Jepun.
Ini meletakkan bank tersebut sebagai fasilitator utama bagi PKS Jepun yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke Malaysia.
Selain itu, Bugin Institute, yang merupakan cabang penyelidikan dan perundingan Musashino Bank pula akan menyokong kerjasama ini melalui penyelidikan perniagaan, seminar dan program nasihat bagi membantu perusahaan Jepun memahami landskap industri Malaysia dengan lebih baik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, EBP VII yang terletak secara strategik di dalam Malaysia Vision Valley 2.0, mempunyai kedudukan unik untuk menyokong aspirasi pertumbuhan antarabangsa pelanggan mereka.
“Kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta akses mudah ke lebuh raya utama turut menawarkan kelebihan dari segi rangkaian, membolehkan pengusaha industri menyertai rantaian bekalan tempatan dan serantau Malaysia dengan lebih mudah.
“Dengan menandatangani MoU ini, kami berhasrat mewujudkan laluan jelas untuk PKS Jepun melabur dan berkembang di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
EBP VII yang dijadualkan untuk pelancaran pertama pada akhir 2025, bakal membangunkan kawasan seluas 483.59 hektar di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan sebagai sebuah taman perindustrian bersepadu yang sedia untuk pelaburan, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM2.95 bilion.
EBP VII dibangunkan melalui Eco Business Park 7 Sdn. Bhd., sebuah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh EcoWorld (55 peratus), SD Guthrie Berhad (30 peratus) dan NS Corporation (15 peratus).
Menurutnya, dengan sokongan praktikal untuk kemasukan pasaran, kemudahan pembiayaan serta pelbagai penyelesaian mesra pelabur yang dapat mempercepatkan permulaan operasi perniagaan di EBP VII.
“Kerjasama ini direka untuk menarik pelaburan berkualiti, memudahkan pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang jangka panjang yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya. – UTUSAN










