Dua termasuk pesara guru mengaku tak bersalah rotan pelajar

Dua termasuk pesara guru mengaku tak bersalah rotan pelajar

CHOONG Kean Beng (kiri) dan Lau Teik Hwa mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang di sini, hari ini atas dua pertuduhan berasingan iaitu merotan seorang pelajar pada 2023.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pesara guru dan seorang guru di sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan berasingan iaitu merotan seorang pelajar sekolah yang sama pada 2023.

Di Mahkamah Majistret 3, tertuduh, Choong Kean Beng, 59, yang kini telah bersara sebagai guru membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar yang ketika itu berusia 13 tahun dengan menggunakan rotan di bilik disiplin sebuah SMJK di daerah Timur Laut, kira-kira pukul 5.30 petang pada 6 Disember 2023.

Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.

Ketika prosiding, Zaida Azuwa mencadangkan supaya wang jaminan berjumlah RM7,000 dikenakan dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Mahendran kemudian memohon mahkamah agar mengurangkan wang jaminan tersebut memandangkan anak guamnya merupakan seorang pesara guru dengan pencen bulanan sebanyak RM4,000 sebulan dan perlu menanggung seorang isteri yang menghidap kanser selain telah diberikan jaminan polis pada Disember 2023.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu dia dan keluarganya dilarang mengganggu saksi dan mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2 pula, seorang lagi guru dari sekolah yang sama, Lau Teik Hwa, 47, turut membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas murid yang sama dengan menggunakan rotan.

Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira pukul 4 petang pada 2 Ogos lalu di bilik disiplin sekolah yang sama. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Koay Ee Ting.

Siti Nur Farihin memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM4,000, namun, dalam rayuannya bagi memohon jaminan lebih rendah, Ee Ting memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai tiga orang anak yang masing-masing berusia 11, 15, 18 tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menganggu mangsa sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula 11 November depan bagi tujuan serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN