IPOH: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki dalam kejadian berhampiran kebun kelapa sawit di Teluk Intan, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas tertuduh, Wong Mun Fai dan Tan Chun How masing-masing berusia 33 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 15 November 2018.
Kedua-dua mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membunuh pada tahun 2018, namun menukar pengakuan kepada bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Mengikut pertuduhan pilihan, Mun Fai dan Chun How didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Heng Wei Yong, 21, dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Perbuatan tersebut dilakukan di laluan masuk ke kebun kelapa sawit berhampiran tiang elektrik di Jalan Kampung Banjar di sini antara pukul 12.05 hingga 12.30 tengah malam pada 15 November 2018.
Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam bela, Datuk Naran Singh dan Amrick Singh Sandu yang mewakili Mun Fai serta V. Santhiran mewakli Chun How memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dari tarikh tangkap kerana pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.
Menurut pihak pembelaan, kedua-dua tertuduh pertama kali melakukan kesalahan dan telah menyesal serta berjanji tidak akan melanggar undang-undang pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh menyebabkan kematian.
Katanya, kejadian itu menunjukkan tindakan kejam apabila mangsa dibakar sekali gus menggambarkan tiada keinsafan daripada kedua-dua tertuduh apabila cuba menghapuskan mangsa.
“Mohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira fakta kes, bagaimana kejadian berlaku, keterangan impak keluarga mangsa, umur si mati ketika kejadian dan peralatan yang digunakan,” katanya.
Media pada 15 November 2018, melaporkan penemuan mayat dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh di dalam kereta yang terbakar di Kampung Banjar menghala Selabak di Teluk Intan.
Mayat mangsa ditemukan di tempat duduk penumpang hadapan di sebelah kiri dalam keadaan hangus terbakar keseluruhan. Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai masalah peribadi membabitkan teman wanita. – UTUSAN

 
								 
											









