IPOH: Dua maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 32, Jalan Teluk Intan-Sitiawan di sini hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 8.25 pagi itu turut membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu, dua motosikal masing-masing jenis SYM dan Honda C100 serta sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Nahas tersebut dipercayai berlaku selepas treler dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar empat kenderaan lain yang berada di laluan kecemasan.
Dalam kejadian itu, pembonceng motosikal SYM dikenali sebagai Aida Zuriana Abdullah, 40, dan pemandu treler, Muhammad Hashim Yamah, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Iskandar untuk proses bedah siasat.
Kemalangan itu turut mengakibatkan dua anak perempuan Aida Zuriana berusia tiga dan enam tahun cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Seri Manjung manakala penunggang motosikal jenis Honda pula cedera ringan.
Difahamkan, tujuh pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah dalam kenyataannya berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan nahas berkenaan diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Hairy Baharuddin di talian 014-5654565,” katanya.-UTUSAN