Dua lelaki aktif curi kabel diberkas

Dua lelaki aktif curi kabel diberkas

M. KUMARASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI:  Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga etnik Rohingya yang dipercayai aktif mencuri kabel dalam dua serbuan berasingan, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 27 September lalu di Gelang Patah membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.

“Susulan penahanan itu, polis menahan rakannya, lelaki warga Rohingya berusia 31 tahun di Taman Cahaya Kota, Masai, pada 29 September lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan membawa kepada rampasan seguni kabel pelbagai warna dan saiz dengan anggaran berat lebih lapan kilogram. 

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif mencuri kabel sejak bulan lalu dengan menyasarkan stor tapak pembinaan dan kilang.

“Suspek tempatan dipercayai menjual kabel curi di premis barangan lusuh di Kota Masai. Lelaki itu mempunyai rekod jenayah serta positif dadah jenis methamphetamine, manakala suspek Rohingya tidak mempunyai rekod dan negatif dadah,” katanya.

Menerusi penahanan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kabel di kawasan Gelang Patah.

Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menolong menyembunyikan harta curi dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN