KUALA LUMPUR: Peminat muzik tempatan bakal menikmati pengalaman luar biasa apabila konsert Dream Beyond Borders yang berlangsung 7 November depan menampilkan gabungan irama pulau, rentak moden dan semangat perpaduan budaya antara Malaysia dan Maldives.
Konsert yang bakal mengegarkan Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) itu menyaksikan persembahan daripada empat kumpulan muzik popular Maldives iaitu 2OFus ,Fasylive, Spitball dan Heyvalla Boduberu Group, selain penampilan khas kumpulan tempatan, Tone Conspirators dalam satu malam penuh tenaga.
Penganjur, Phat Katz Events Management berkata, Dream Beyond Borders merupakan permulaan kepada kerjasama kreatif jangka panjang antara dua negara.
“Melalui Dream Beyond Borders, kami menanam benih untuk kolaborasi seni yang lebih luas antara Malaysia dan Maldives. Kami berharap ia membuka laluan kepada pertukaran bakat, pembangunan artis dan penganjuran festival serantau,” katanya.
Sementara itu, wakil Tone Conspiratos, Ananth Kumar meluahkan rasa teruja untuk bergabung pentas dengan pemuzik handalan dari Maldives selain dapat berkongsi ilmu tentang muzik tempatan.
“Muzik adalah penyatu yang paling kuat melangkaui bahasa dan sempadan. Kami teruja berkongsi pentas dengan bakat hebat dari Maldives dan mencipta harmoni bersama,” katanya.
Tiket konsert kini dijual bermula RM106 di laman rasmi 2OFUS.
Menurut wakil 2OFUS, Ahmed Adhuham, konsert tersebut bukan sekadar persembahan muzik, tetapi simbol jalinan persahabatan antara dua negara.
“Dream Beyond Borders lebih daripada sebuah konsert. Kami meraikan hubungan antara manusia dan persahabatan antara Malaysia serta Maldives. Setiap nota yang kami mainkan membawa semangat pulau. Kami mahu rakyat Malaysia merasai degupan jiwa Maldives melalui muzik kami,” katanya.
Untuk info, tiket sudah mula dijual pada harga RM106 di laman rasmi 2OFUS.-UTUSAN









