Draf kertas RUU Tribunal Antibuli dibentang Kabinet awal November

Draf kertas RUU Tribunal Antibuli dibentang Kabinet awal November

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kertas Kabinet mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli dijangka dapat dibentangkan kepada barisan Jemaah Menteri pada awal November depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini, pihaknya giat melaksanakan libat urus dengan pelbagai pihak bagi melengkapkan RUU itu.

“Insya-Allah, pada awal November (bentang kepada Kabinet) untuk mereka (Jemaah Menteri) membuat penentuan dari segi dasar.

“Buat masa ini, kita belum memutuskan untuk meletakkan had umur bagi tribunal sama ada bawah 18 tahun atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Town Hall ‘Generasi Tanpa Buli’ bersama wakil murid di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini hari ini.

Katanya, isu terbesar yang Kabinet perlu putuskan daripada sesi libat urus yang dilaksanakan ketika ini adalah mendapatkan definisi sebenar buli.

Azalina berkata, ketika ini, negara sudah mempunyai undang-undang berkaitan isu buli, namun ia tidak khusus menangani kes buli secara menyeluruh.

“Dalam konteks ini, apabila melibatkan kanak-kanak, kita perlu memahami sejauh mana tribunal boleh menyelesaikan kes-kes buli dari sudut yang lebih mendalam dan berbeza, bukan sekadar dari sudut jenayah berat seperti pembunuhan.

“Seperti yang saya nyatakan, Kabinet boleh memutuskan untuk mewujudkan dua jenis tribunal sama ada bagi mereka berumur bawah 18 tahun dan atas 18 tahun, atau menubuhkan dua tribunal berasingan. Kajian dan perbincangan mengenai perkara ini masih dijalankan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memastikan undang-undang yang bakal digubal benar-benar berkesan dan tanggungjawabnya adalah menilai sama ada tribunal akan menjadi lebih efektif berbanding mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN