MELAKA: “Setiap kali hujan, saya cuma mampu tadah air dengan baldi dan berdoa agar bumbung rumah ini tak runtuh.”
Itu luahan Poniah Ahmad, 75, yang tidak mampu menahan sebak apabila rumah usangnya di Kampung Pinang, Tanjung Kling akhirnya dibaik pulih selepas lebih lima dekad menjadi tempat berteduh keluarganya.
Rumah kayu berusia 55 tahun itu sebelum ini mengalami kerosakan teruk dengan sebahagian besar bumbung reput dimakan anai-anai hingga dimasuki air hujan setiap kali ribut melanda.
“Saya bersyukur sangat, doa akhirnya termakbul. Rumah ini dah lama usang, kayu banyak rosak.
“Saya tinggal dengan empat anak dan dua cucu, dua daripada mereka orang kurang upaya (OKU) masing-masing masalah fizikal dan lembam, ibu mereka pula ibu tunggal yang kerja sebagai kakitangan pembersihan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan semula rumah semalam.
Rumah Poniah antara dua kediaman yang dibaik pulih di bawah Program Melaka Rumahku (PMR) anjuran Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong menyerahkan bantuan baik pulih bernilai lebih RM20,000 iaitu melebihi peruntukan asal RM15,000.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, hampir 80 peratus struktur bumbung rumah Poniah telah diganti bagi memastikan keselamatan penghuni.
“Projek ini antara 39 rumah di seluruh negeri yang menerima bantuan di bawah peruntukan RM1 juta kerajaan negeri melalui LPM. Sebanyak RM1.3 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan rumah baharu di bawah kategori PMR Bina Baru, menjadikan keseluruhan bantuan perumahan rakyat tahun ini hampir RM2 juta,” katanya.-UTUSAN










