LOS ANGELES: Pelakon The First Wives Club, Diane Keaton menghembuskan nafas terakhir di California pada usia 79 tahun.
Berita duka itu dikongsi jurucakap keluarga mendiang kepada majalah People, baru-baru ini. Punca kematiannya bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
Mendiang sebelum ini pernah menceritakan mengenai penyakit kanser kulit yang dideritainya sejak berusia 21 tahun.
Aktres tersebut, menerusi buku Then Again turut berkongsi mengenai masalah gangguan pemakanan (bulimia) yang dihadapinya sejak usianya mencecah 20-an.
Antara rakan industri yang terkesan dengan pemergian Keaton adalah Goldie Hawn, Bette Midler, Steve Martin dan Ben Stiller.
“Tidak ada insan yang lain seperti kamu,” tulis Hawn di Instagram.
Keaton yang dilahirkan di Los Angeles mencipta nama pada 1972 menerusi filem The Godfather.
Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Oscar 1978 itu juga terkenal menerusi filem Father of The Bride dan Annie Hall. – UTUSAN